Mengapakah Kita Diciptakan?
Thursday, February 11, 2010
Posted by Sahel Nordin
Dalam ruangan yang kecil ini, saya ingin berkongsi rasa dengan pembaca sekalian tentang beberapa persoalan yang besar. Persoalan yang sebenarnya memandu perjalanan hidup kita . Persoalan yang menentukan arah dan matlamat kita dalam hidup. Apa yang dibicara di sini adalah persoalan yang cukup-cukup besar bagi mereka yang bergelar muslim iaitu :
1. Dari manakah kita datang?
2. Mengapakah kita didatangkan?
3. Kemanakah kesudahan kita?
Besarkan persoalan ini.
Mengapakah remaja masa kini banyak terjerumus dengan maksiat dan dosa?
Mengapakah gejala sosial semakin parah hari demi hari?
Mengapa kini banyak keluarga berpecah belah dan bilangan anak-anak yang tidak tahu siapa bapanya bertambah?
Mengapa?
Inilah puncanya pembaca sekalian. Ramai yang tidak memahami dan tidak mampu menjawab 3 persoalan diatas. Kalau tahu, mereka tidak mampu menterjemah dalam hidup mereka. Persoalan yang sebenarnya sudah dijawab dalam Al-Quran sejak 1400 tahun dahulu. Persoalan ini difahami oleh segolongan manusia pada zaman dahulu dan telah mengubah Zaman Kegelapan Jahiliyyah Musyrikin kepada Zaman kegemilangan Islam sejagat.
Ayuh kita teliti persoalan-persoalan itu.
1.Dari manakah kita datang?
Jawapannya kita dapat ketahui dalam surah Al-Hajj , ayat 5 :
Terjemahannya:
“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah s.w.t) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui “
Jelaslah kepada kita bahawa kita sebenarnya diciptakan dan didatangkan oleh Allah swt ke muka bumi ini .
2. Mengapakah kita didatangkan?
Persoalan ini dapat dijawab dan diketahui melalui surah Az-Zariyyat, ayat 56 :
Terjemahannya:
“ Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku “
Ayat yang ringkas namun member erti yang cukup luas dan bermakna dalam hidup sebagai seorang muslim. Kita tidak dijadikan oleh Allah swt melainkan hanyalah untuk beribadah kepada Allah. Inilah misi hidup seorang muslim. Jelas.
Erti Ibadah dalam Islam begitu luas dan mencakupi seluruh hidup manusia . Tidak terbatas hanya kepada rukun-rukun Islam seperti solah, puasa , menunaikan zakat dan menunaikan haji semata-mata. Malah jauh lebih dari itu. Setiap perbuatan kita , amal kita, percakapan kita, langkah kita dan sebagainya adalah ubudiyyah kita kepada Allah swt. Justeru, setiap amal kita sewajibnya dan sewajarnya menepati Syariat Allah swt dan ikhlas melakukannya kerana Allah swt.
Oleh demikian, makan, minum, belajar, bermain, memasak, berkahwin, bekerja , mendidik anak-anak, `berchatting` , `berFacebook` dan lain-lain adalah ibadah kepada Allah sekiranya amal kita menepati syariat Allah swt dan kita melakukannya hanya untuk mendapat Redha Allah swt.
3. Kemanakah kesudahan kita?
Persoalan ini, saya yakin pembaca mampu untuk berfikir ke mana akhirnya kita. Hal ini kerana semua yakin kita akan dipanggil pulang kepada Allah swt. Hal ini jelas dalam Surah An Najm, ayat 42- 44:
Terjemahannya:
“ Sesungguhnya kepada Tuhan (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali “
Kepada Allah swt lah kita akan dikembalikan .
Hebat , kaya, kuat, cerdik dan berkuasa macam mana pun kita di muka bumi ini,pasti kita akan dipanggil pulang kepada Allah swt.
Oleh itu, sahabat-sahabat yang dikasihi, persiapkanlah amal kita.
Perbetulkanlah matlamat kita di muka bumi ini dan ikhlaslah kita dalam beramal untuk mencapai Redha Allah.
Saya yakin seandainya seluruh muslim di muka bumi ini, memahami dan mampu menterjemah jawapan-jawapan 3 persoalan diatas, insyallah, kegemerlapan Islam akan memancar di seluruh pelosok dunia ini.



Post a Comment