Khilaf Di Kalangan Pendakwah dan Kesannya Terhadap Umat Islam di Malaysia : Kaedah-Kaedah Berta`amul dan Jalan Penyelesaiannya

Satu kertas kerja yang cukup menarik dan begitu dominan pada realiti dakwah di Malaysia telah dibentangkan oleh Ustaz Heizal Hezry Bin Omar. Berikut merupakan isi-isi dalam kertas kerja beliau yang cuba saya ringkaskan untuk manfaat diri dan anda. Untuk penjelasan lebih mendalam, anda boleh rujuk kepada kertas kerja beliau. Banyak contoh yang memudahkan fahaman kita telah disertakan dalam kertas kerja beliau.


“ ……. Akan tetapi apa yang benar-benar melukakan hati ialah terdapatnya di kalangan para pendakwah dan aktivis yang tidak menghargai perkara ini ( Kerjasama di antara Jemaah ) dan sentiasa menyemai benih perpecahan di mana sahaja mereka pergi dan sering mencari apa sahaja yang dapat menghidupkan api perbalahan serta mewarisi permusuhan dan kebencian. Penumpuannya juga adalah perkara-perkara ikhtilaf dan bukannya titik persamaan . Dia juga sentiasa terpesona dengan pendapatnya sendiri serta memuji diri dan jemaahnya dan dalam masa yang sama membuat pelbagai tuduhan terhadap pihak yang lain.”

Syeikh Yusuf Al-Qadrawi


Muqaddimah

 
Pada hakikatnya, bilangan umat Islam kini tidak sampai 60 peratus dari jumlah seluruh penduduk Malaysia. Justeru, para pendakwah tanpa mengira aliran pemikiran , mazhab, jemaah atau parti politik yang disertainya tidak sepatutnya sibuk berbalah sesame sendiri tentang isu-isu cabang apatah lagi isu pokok. Dari jumlah umat Islam yang hanya bersifat ‘ simple majority ’ itu pula , peratusan yang beriltizam dengan agama dan terlibat secara langsung dengan dakwah dan islah amatlah sedikit.


Kepentingan Memahami Fiqh Khilaf :



Dr Yusof Al-Qadhrawi pernah menyebut di salam muqaddimah kitabnya yang paling masyhur di dalam bab ini iaitu “ Kebangkitan Islam di Antara Iktilaf Yang Dibenarkan dan Perpecahan yang dikeji” .
 
“ Aku tidak merasa gusar bahawa kebangkitan Islam masa kini ada mempunyai musuh-musuh dari luar yang memerhatikan pergerakannya ( Untuk menyerang hendap ) dan mengenakan pelbagai konspirasi dan tipu helah terhadap mereka. Ini kerana ia merupakan suatu perkara yang logic yang berlaku menurut sunnah pertelingkahan antara perkara hak dan batil serta konflik di antara kebaikan dan kejahatan yang ditetapkan oleh Allah swt di dalam alam yang kita tinggal ini seperti firmanNya : ‘dan begitulah Kami telah jadikan untuk setiap nabi itu musuh di kalangan golongan penjenayah’ ( Al-Furqon: 31) . Allah swt juga telah menceritakan keadaan musuh-musuh Islam dan juga umatnya di dalam firmanNya : ‘…dan mereka itu akan berterusan memerangi kamu semua sehinggalah mereka itu mengeluarkan kamu sekiranya mereka mampu’. ( Al-Baqarah: 217 ) Tetapi apa yang lebih merisaukan aku dan menyebabkan aku tidak tidur malam dan menghancurkan hatiku ialah kebangkitan Islam itu membenci dirinya sendiri dan musuh yang ada itu datang dari dalam diri mereka sendiri sehingga menyebabkan mereka menyerang satu sama lain dan mensabotaj serta berperang sesama sendiri”.

Pemahaman terdapat punca-punca khilaf adalah amat penting kepada para pendakwah terutamanya kerana :

1)Ia akan dapat membantu mengurangkan perselisihan dan salah faham sesama pendakwah.
2)Ia dapat membantu para pendakwah untuk mencari titik persamaan di dalam dakwah serta merapatkan jurang perbezaan.
3)Ia dapat membantu pendakwah untuk menggembeleng kekuatan dan tenaga untuk bekerjasama dalam pelbagai isu bersama kerana matlamat dakwah adalah sama walaupun wadah berbeza.


Skop Khilaf:



Apa yang perlu difahami dan ditekankan ialah adakah khilaf yang berlaku itu sesuatu yang boleh diterima oleh Islam ataupun telah keluar dari luar lingkup dan batasan yang dibenarkan di dalam agama . Kerana itulah khilaf dalam perkara aqidah adalah sangat minimum berbanding dalam permasalahan feqah sehinggakan sebahagian besar ulama` meletakkan kaedah bahawa ;


“Sesungguhnya khilaf dikalangan Muslimun adalah dalam perkara feqah dan bukan dalam aqidah”

Namun begitu , kaedah di atas adalah secara umum dan kebiasaannya dan bukannya secara mutlaq kerana terdapat juga isu-isu aqidah yang berlaku khilaf di kalangan para sahabat Nabi sendiri dan terbuka kepada perbezaan pandangan . Oleh itu, kaedah yang lebih tepat dalam menggambarkan ruang lingkup khilaf yang dibenarkan didalam Islam.



“Sesungguhnya khilaf dikalangan Muslimin adalah dalam perkara furu` dan bukan di dalam perkara usul.”


Perkara furu` dalam kaedah ini bermaksud isu-isu cabang di dalam syara` yang kebiasaannya bergantung kepada dalil-dalil zhonni sama ada dari segi kesahihannya ataupundari segi pemahamannya dan sama ada isu-isu tersebut merupakan perkara aqidah ataupun feqah.

Perkara usul pula bermaksud permasalahan pokok atau isu-isu ilmiah yang besar dan utama yang kebiasaannya bergantung kepada dalil-dalil qat`ie sama ada dari segi kesahihannya ataupun dari segi pemahamannya dan sama ada isu-isu tersebut merupakan perkara aqidah ataupun feqah.

Jenis Khilaf:


Terdapat dua jenis khilaf di dalam feqah iaitu:


a) Khilaf yang keji dan ditolak
: Ia terbahagi kepada 2 kategori iaitu :

I. Khilaf di dalam masalah yang mempunyai dalil dari Al-Quran dan Sunnah yang sahih dan mempunyai jelas satu makna seperti kewajipan solah , puasa , zakat, pengharaman berjudi, makan babi dan pecah amanah.


II. Semua masalah feqah yang disepakati ( Ijma`) oleh para ulama` dengan ijma`yang sorih iaitu kesepakatan para mujtahidin dalam hukum sesuatu perkara dan setiap dari mereka menyatakan pendapat mereka berkaitan hukum tersebut dengan cara langsung atau tidak langsung.


Oleh itu, khilaf dalam kategori ini tidak boleh diterima malah sesiapa yang ingkar boleh menyebabkan dia terkeluar dari Islam dan boleh dijatuhi hukuman murtad oleh pihak pemerintah.

b) Khilaf yang dibenarkan dan harus : ia juga dibahagi kepada 2 kategori iaitu:

I. Khilaf al-Tanawwu` ( Kepelbagaian )
: iaitu khilaf di dalam pendapat feqah yang pelbagai jenis yang tidak ada pertentangan atau percanggahan di antara satu pendapat dengan yang lain. Contohnya terdapat pelbagai riwayat berkaitan cara lafaz azan dan iqamah yang dilaungkan.


II. Khilaf al-Tadhodh ( Berlawanan ) : Khilaf di mana pendapat yang ada itu bercanggah dan berlawanan di anatara satu dengan yang lain. Ia terbahagi kepada dua:

• Setiap permasalahan feqah yang disabitkan dengan dalil yang qat`ie dan sahih tetapi zhonni al-dalalah. Ini bermaksud setiap masalah yang sabit dengan dalil yang diyakini kesahihannya dan tidak ada keberangkalian untuk ia diragui tetapi ia mempunyai lebih dari satu makna dan maksud yang boleh difahami.

• Setiap permasalahan yang tidak ada nas di dalam kitab , sunnah atau ijmak. Iaitu seperti kebanyakan permasalahan baru masa kini yang tidak pernah berlaku dan dibincangkan sebelum ini. Contohnya isu insurans, bursa saham, bayi tabung uji , pembedahan kosmetik dan pemindahan organ.




Sebab dan Punca Khilaf



Ustaz Heizal telah membahagikan kepada 2 punca besar iaitu:

1) Sebab – sebab ilmiah

Semua punca khilaf yang disenaraikan lebih menjurus kepada khilaf isu-isu feqah tanpa menyentuh isu aqidah dan akhlaq;

I. Perbezaan manhaj dalam mensabitkan kesahihan atau kepalsuan sesuatu nas.
II. Perbezaan pandangan di dalam memahami sesuatu nas.
III. Perbezaan manhaj di dalam menggabung serta mentarjihkan ( Memilih pendapat yang paling kuat) di antara nas-nas syara` yang bercanggah.
IV. Perbezaan di dalam menetapkan qawaid usuliyyah serta sumber-sumber dalam istinbat.

2) Sebab-sebab tidak ilmiah

I. Sikap mereka sendiri yang sering salah faham dan salah sangka atau buruk sangka dan prejudis terhadap pihak yang lain hanyalah disebabkan perbezaan ideology dan prinsip perjuangan mahu pun perbezaan wadah dan pendekatan dakwah.
II. Sikap taasub kepada jemaah atai pemimpin atau aliran atau tempat pengajian masing-masing menyebabkan mereka membutakan mata kepada cahaya kebenaran.
III. Kedangkalan ilmu atau pemahaman terhadap ajaran agama dan berdakwah dengan hanya berbekalkan semangat dan emosi yang berkobar-kobar tanpa bekalan ilmu yang cukup di dada.
IV. Niat yang salah dalam berdakwah hanya untuk mengejar popularity atau material dan bukan kerana Allah.

Cadangan Penyelesaian

Beberapa kaedah atau panduan yang perlu diikuti atau kesalahan yang perlu dijauhi oleh para pendakwah agar dapat mengurangkan khilaf dan perbalahan sesama sendiri.

Antara yang penting ialah :

1) Kaedah : La ingkar fi masail alijtihadiah almukhtalifah fiha
2) Keluar dari khilaf
3) Pendapat-pendapat ulama` yang lemah dan janggal tidak boleh dikumpul atau diketengahkan ke dalam masyarakat.
4) Ijtihad dan khilaf dari golongan yang bukan ahli adalah berdosa walaupun betul
5) Adab perbincangan
6) Adab terhadap ulama` terdahulu
7) Popular tidak semestinya betul, diam tidak semestinya tidak menyumbang.
8) Bersedia dan berlapang dada dalam menerima kritikan sepertimana seseorang pendakwah itu bersedia untuk mengkritik orang lain.
9) Perbezaan pandangan adalah berkaitan hujah dan dalil bukan bersifat peribadi.
10) Bersedia untuk menarik balik pendapatatau mazhab atau fatwa yang salah atau tidak tepat setelah nyata dengan jelas kesalahan atau kelemahannya.
11) Ijtihad dalam mencari kebenaran.
12) Keutamaan terhadap Fatwa Jamaie.

# Cadangan penyelesaian di atas adalah point-point penting sahaja. Huraian dan contoh point tersebut boleh anda baca dan kaji dalam kertas kerja Ustaz Heizal .



Sekian.