>



Takbir !! Allahuakbar.
Takbir !! Allahuakbar.
Takbir !! Allahuakbar.
Bergema takbir di salah sebuah dewan permainan di Mafraq. Beberapa rakan terus sujud syukur. Saya, Poji, Syukri, Amin, Lan, Nik, Hazim dan Saiful berpelukan antara satu sama lain. Itulah laungan kesyukuran setelah Pasukan Bola Tampar Irbid A mendapat johan setelah mengalahkan pasukan Mu`tah A di perlawanan akhir dalam KARISMA `10 yang bertempat di Mafraq dan mempertahankan pingat emas di Mu`tah pada KARISMA `09 . KARISMA adalah satu Kejohanan Pertandingan Sukan SeMalaysia di Jordan yang melibatkan pelajar-pelajar Malaysia di seluruh Jordan iaitu dari mantiqah Irbid, Mafraq, Mu`tah dan Amman. Pelbagai pertandingan dijalankan seperti bola tampar, badminton, bola sepak , ping pong dan acara balapan. 
Agak sedikit mengecewakan bagi kontijen Irbid yang gagal mempertahankan Johan keseluruhan apabila Kontijen Mu`tah telah merampas gelaran tersebut. Namun bagi kami, pemain-pemain bola tampar sama ada Irbid A atau Irbid B bersyukur kerana berjaya pertahankan kejuaraan bola tampar. Alhamdulillah. Sebenarnya kami agak gerun dengan pasukan Mu`tah A kerana terdapat beberapa pemain baru yang kelihatan berpengalaman dan hebat bermain. Apatah lagi Spiker utama mereka , Dol masih ada .
Alhamdulillah, dengan doa dan sokongan rakan –rakan Irbid di luar gelanggang telah membantu menaikkan semangat kami. Semua pemain bermain dengan baik dan sempurna. Dingging, setter , spiking, covering  dan servis serta blocking berjaya disempurnakan dengan baik. Akhirnya , perlawanan ditamatkan dengan 2-0. Itulah kegembiraan buat kami apatah lagi buat abang-abang senior seperti Poji, Syuk, Amin , Nik dan Ajis yang bakal menamatkan pengajian . Inilah tahun terakhir saya bersama mereka. Semoga Allah menyuburkan ikatan ukhuwwah kita sepanjang  kita bersama di Urdun.
 
Disebalik kegembiraan saya di Mafraq, memori saya bersama VT MATRI kembali muncul di bayangan. Teringat kembali sewaktu awal saya dibawa masuk ke dalam pasukan Bola Tampar MATRI pada tingkatan 1  pada tahun 2002 oleh Ustaz Mahathir. Disitu saya berkenalan dengan abang-abang MATRI yang jauh berusia.Akhlak dan syaksiah mereka dijadikan contoh buat diriku. Terdapat abang-abang yang begitu caring denganku.  Suasana yang cuba dibina dalam pasukan bola tampar MATRI adalah UNIK dan sukar ditemui ditempat-tempat lain. Kami sentiasa diingatkan oleh ustaz Mahathir agar menjadikan Bola Tampar sebagai salah satu wasilah untuk menyampaikan Islam pada masyarakat. Hubungan dengan Allah atau HDA sentiasa diingatkan ketika bermain. Mencapai Redha Allah itulah matlamat kita. Sebab itu, teringat satu peristiwa apabila salah seorang pemain utama kami terpaksa diberhentikan bermain seketika kerana lambat menunaikan solah Fardu. Hal ini kerana demi melatih dan mentarbiyah pemain tersebut untuk lebih serius dengan amal yang difardukan Allah walaupun ia nampak kecil pada pandangan sebahagian umat Islam kini . Selepas supper , kami akan berkumpul di Musolla MATRI untuk menunaikan solah hajat dan selepas itu adakalanya kami akan berbincang strategi. Berpuasa bersama-sama dalam rangka meningkatkan Ruh kami.
Selain itu, satu keistimewaan yang ada sepanjang penglibatan saya dalam VT MATRI adalah abang-abang senior yang berada di IPT tidak jemu-jemu untuk memberi  sokongan. Abang Nu`man ( Bor )salah seorang tonggak utama pasukan UIAM senantiasa turun ke MATRI untuk mencurahkan pengalaman beliau kepada kami. Ikhwan ,Aiman Hassan, Jepah, Abu Ubaidah, Syu`bah, Abang Amr, Saiful, Meor dan lain-lain sentiasa beri sokongan . Walaupun jarak usia kami berbeza, matlamat yang sama telah menyatukan kami dan menjadikan kami satu keluarga yang saling kasih kerana Allah dan bersama dalam wasilah yang diminati untuk menyebar luaskan Islam . Itulah satu kebahagiaan yang sukar untuk diungkapkan.
Saya yakin bahawa pengalaman bersama VT MATRI harus dipraktikkan di mana saja pasukan yang saya sertai. Kerana Fikrah itu menuntut tanggungjawab. Nikmat Islam dan Iman harus disebarkan dan dirasai oleh semua orang. Bagi mereka yang pernah menerima sentuhan tarbiyyah dan yang pernah melalui proses Tarbiyyah harus melaksanakan tanggungjawab ini. Nikmat Islam dan Iman dan ukhuwwah ini bukanlah untuk diri sendiri sahaja malah perlu disebarkan di mana sahaja kita berada, walau di waktu apa pun, walau apa pun wasilah yang kita guna. Kerana dunia kini sentiasa memanggil da`ie dan da`ieyah untuk menyelamatkan manusia di dalamnya dari jatuh ke lembah kehancuran.