Di saat ini , Kempen Pilihan Raya ( PR ) PERMAI kian bermula. Ahli –ahli PERMAI kini sibuk memikirkan siapakah di kalangan calon yang terpilih paling sesuai untuk diangkat sebagai pemimpin number SATU mereka sebagai Presiden PERMAI sesi 2011/12.  Keunikan PR PERMAI berbanding PR Kampus terutamanya di Malaysia adalah yang mencalonkan finalist nama yang layak bertanding adalah di kalangan ahli-ahli PERMAI. Bukan seperti di Malaysia, calon PR yang menuntut mereka membentangkan manifesto dan mengempen diri mereka sendiri dan di sokong oleh kumpulan masing-masing sama ada  Pro U atau Pro M. 

Dengan izin Allah swt, saya terpilih untuk menjadi salah seorang Calon Pilihan Raya PERMAI sesi 2011/12.

Penghargaan

Pertama sekali , saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sebahagian besar ahli Syabab PERMAI kerana memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada saya atas pencalonan saya sebagai calon Majlis Tertinggi PERMAI sesi 2011/12. Saya benar-benar hargai atas sokongan dan kepercayaan ini. 

Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Jabatan Pilihan Raya ( JPR ) PERMAI kerana berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan PR ini dengan jayanya. Ya, mereka telah menghabiskan banyak masa baru-baru ini, bermesyuarat  berhari-hari, berjam-jam demi untuk memastikan kelancaran PR ini untuk menjaga kemashalatan ahli-ahli PERMAI secara keseluruhannya pada sesi akan datang . Penat, letih , lelah, usaha gigih dan keringat mereka ini sememangnya amat dihargai.

Mohon Maaf

Dalam ruangan ini, saya ingin memohon maaf kepada semua ahli PERMAI kerana tidak dapat memberi komitmen terhadap tugas yang ditawarkan. Setelah 3 tahun berkecimpung secara aktif dalam PERMAI ( terlibat dalam AJK program, JKK PMK dan PINTAR ) , maka dalam masa berbaki ini, saya hajat memenuhi IMPIAN dan CITA-CITA diri saya dan ibubapa untuk mengaut sebanyak mungkin  peluang dan mutiara di tanah arab terutamanya daripada SUDUT KEILMUAN . Ini juga adalah salah satu jihad untuk kemashalatan dakwah dan tarbiyah di Malaysia kelak. 

Sungguh, jauh di sudut hati saya, rasa yang amat-amat bersalah kerana tidak dapat memenuhi kepercayaan dan sokongan kalian.

Kepimpinan , Pengurusan dan Persatuan 

Saya berPERINSIP bahawa berkecimpung dalam KEPIMPINAN dan PENGURUSAN atau melibatkan diri dalam PERSATUAN tidak pernah menggangu pembelajaran ataupun akademik. Malah ia menjadi NILAI TAMBAH buat diri yang cukup berharga untuk membina softskills yang tidak mungkin dapat diperoleh melalui kelas-kelas pembelajaran di Universiti. 

Keyakinan terhadap diri, teknik pengucapan awam, teknik untuk merancang visi dan misi serta gerak kerja untuk mengarahkan organisasi yang dipimpin ke arah apa dikehendaki, cara bermuamalah dengan rakan sekerja, teknik untuk memotivasikan ahli-ahli kumpulan, teknik menyelesaikan masalah besar dalam waktu yang singkat, teknik berurusan dengan orang-orang pangkatnya lebih besar, teknik menguruskan masa dalam membahagikan tugas-tugas kerja dan banyak lagi jika ingin disenaraikan. Sungguh ia memberi suatu pengalaman yang cukup luar biasa dalam mematangkan seseorang individu yang berkecimpung dalam kepimpinan dan pengurusan. Amatlah rugi, jika kita semata-mata menjadi ulat buku yang tidak bergaul dan menjauhkan diri daripada masyarakat sekeliling.  

Selain itu , penglibatan dalam PERSATUAN melatih diri untuk peka terhadap masalah yang ada dalam masyarakat sekeliling.  Di saat , kita bersenang-lenang dengan tajaan yang banyak, rupa-rupanya, terdapat ahli dalam persatuan kita yang  mengikat perut untuk membayar yuran semester akan datang. Maka, kita hulurkan duit untuk membantu mereka yang susah. Inilah latihan untuk mengenepikan kepentingan peribadi untuk kemashalatan orang lain. Melihat rakan-rakan sekeliling asyik lalai bermaksiat, kita bertindak untuk menegur mereka secara hikmah . Maka di sini , wujudnya masyarakat yang harmoni, yang lengkap melengkapi antara satu sama lain. Membantu yang susah dan meringankan bebanan. Semuanya menuju kepada apa yang Allah hendaki.

Jika ingin dibicarakan berkenaan kelebihan berpersatuan ,dan berkecimpungan dalam dunia kepimpinan dan pengurusan, maka tidak cukup dengan satu artikel ini malah lebih. Malah bukan itu fokus saya dalam artikel ini.

Prioriti ( Awlawiyat ) Saya Ketika ini

 Daripada aspek kepimpinan dan penglibatan dalam PERMAI, Alhamdulillah, saya sudah dapat banyak pengalaman sepanjang hampir 3 tahun di bumi Irbid. Penumpuan terhadap pengasahan bakat dan potensi, secara peribadi, sudah cukup kerana bergiat aktif dalam persatuan sejak tahun pertama. Pengalaman menjadi banyak AJK program pada tahun 1 ketika tiada banyak pelajar ada di Irbid yang menuntut orang yang sama bekerja. Selain itu, penglibatan saya dalam Pengerusi JKK PMK dan Pengerusi PINTAR sudah cukup ke arah pembangunan kepimpinan dalam diri saya.

 Kini , saya hampir ke penghujung pengajian, maka penumpuan ke arah KESERJANAAN ILMU adalah UTAMA. Inilah FOKUS saya yang paling UTAMA dalam perancangan hidup saya untuk sesi yang berbaki ini.  Masa hari Jumaat & Sabtu saya telah dan akan dihabiskan di Amman dan Busro untuk pengajian Ilmu. Kelas harian saya di Universiti Yarmouk akan bertambah 2 kali ganda kerana saya akan mustami` kelas yang tidak wajib dalam bidang saya . Selain itu, saya amat perlu untuk memperbaiki muadal yang semakin menurun dan mentahsin madah-madah yang markahnya rendah .Justeru, masa saya pada sesi akan datang amatlah padat . 

Saya merupakan pelajar Ekonomi Islam dan Perbankan Islam.

Dalam pengajian ini, tidak ada subjek khusus Bahasa Arab  ( Nahu, Sorof , Balaghah, Mantik dll ) , Hadis , Tafsir, Aqidah ,Usul Fiqh, Maqasid Syariah, Sirah , Perbandingan Agama, Pecahan Islam,  Kisah dalam Al-Quran,  Feqah Ibadah, Feqah Ahwal Syaksiyyah, Fiqh  Jihad, Fiqh Nizom Hukum , Perbandingan Mazhab dan banyak lagi persiapan ilmu yang perlu seorang DAIE persiapkan diri untuk TERJUN dalam MASYARAKAT MALAYSIA yang mana kita ketahui semakin hari semakin membimbang kita. Yang menyebabkan hati kita dan Iman kita tidak dapat duduk senang lenang.  Maka untuk mendalami ilmu-ilmu yang disebutkan tadi , perlukan FOKUS dan MASA. Dalam baki sesi kali ini yang benar-benar  pendek untuk memenuhi semua ini, maka penumpuan KHUSUS harus saya berikan.  ( Boleh rujuk dalam buku thaqafah Daieyah ; Dr Yusof Al-Qadrawi berkenaan ilmu yang perlu dilengkapi oleh para Daie.)

Justeru ahli PERMAI yang dikasihi, untuk mencapai CITA-CITA yang saya impikan dan juga CITA-CITA UMMAH untuk melihat wujudnya para DAIE yang Faqih fi Deen dalam memperbaiki UMMAH maka saya akan bersungguh- sungguh menggapaikan apa yang diimpikan.

Saya tidak pernah menyalahkan KEPIMPINAN dalam memberi kesan kepada AKADEMIK . Malah banyak mendidik saya untuk menterjemahkan ILMU yang secara teori untuk dilaksanakan dalam bentuk realiti.  Cumanya dalam sesi berbaki ini, PENUMPUAN MAKSIMA terhadap KESARJANAAN ILMU menjadi FOKUS UTAMA . Ini kita sebut sebagai FIQH AWLAWIYAT atau PRIORITI UTAMA.

Saya tidak pernah mengatakan saya TIDAK MAHU menyumbang kepada Dakwah dan Tarbiyah di PERMAI. TIDAK. Malah saya mempunyai perancangan RAPI dalam MENGUKUHKAN PINTAR sebagai salah satu NADI DAKWAH PERMAI. 

Cuma jawatan sebagai PRESIDEN PERMAI dan juga MAJLIS TERTINGGI PERMAI memerlukan mereka yang boleh memberi fokus UTAMA dalam memikirkan kemashalatan ahli PERMAI. Tambahan pula, kemungkinan besar ahli PERMAI pada sesi akan datang akan SANGAT RAMAI dari sekarang yang memerlukan kepada konsentrasi barisan kepimpinan PERMAI yang  sangat tinggi untuk menjaga kebajikan ahli PERMAI.

Kesimpulan

Berdasarkan sedikit huraian di atas, maka saya memohon maaf kepada yang memberi kepercayaan dan sokongan kepada saya untuk memimpin PERMAI pada sesi akan datang untuk TIDAK MENGUNDI saya dalam Pilihan Raya tidak lama lagi. Saya amat berharap anda dapat memahami kondisi dan PRIORITI saya dalam baki sesi kali ini. 

Janganlah di salah fahamkan bahawa penglibatan dalam persatuan menjejaskan akademik atau kesarjanaan Ilmu. Tidak sama sekali. Tetapi hanya TUMPUAN LEBIH dan PRIORITI saya kepada KESARJANAAN ILMU pada masa kini adalah lebih UTAMA.

Siapa Calon Presiden Anda?

Saya sudah mengenali individu ini. Beliau adalah seorang yang sangat berkaliber, bersungguh-sungguh dalam kerjanya, yang mempunyai visi dan misi yang jelas dan juga mempunyai pengalaman bekerja dalam PERMAI. Ceria orangnnya dan mudah menerima pandangan , cadangan dan kritikan . 

Individu yang dimaksudkan adalah AHMAD HIDAYAT HASNI BIN MAT ISA.

Pilihan di tangan anda . Maka pilihlah yang terbaik tapi bukan saya ya. ^_^

Sertailah dalam group FB < Jangan Undi Sahel ( JUS ) >  sebagai sokongan anda kepada saya.


Sekian.
.